Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas berputih mata selepas rugi sebanyak RM439,444 diperdaya scammer yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwanya terlibat dalam penggubahan wang haram pada Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8 April lalu selepas mangsa, 64, menyedari ditipu.

“Kejadian bermula pada 20 Januari apabila mangsa dihubungi oleh seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Fatihah dari Balai Polis Bintulu, Sarawak.

“Suspek mendakwa nombor telefon mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram. Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai Inspektor Hafiz dari Bukit Aman.

“Mangsa diarahkan untuk menyerahkan semua maklumat dan aset miliknya kepada ‘Bank Negara’ kononnya untuk tujuan siasatan dan membersihkan namanya daripada sebarang kaitan dengan kes jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pada 24 Januari lalu, mangsa yang merupakan suri rumah menerima satu lagi panggilan daripada Inspektor Hafiz dan diarahkan supaya meletakkan kad ATM miliknya di luar pagar rumah.

Ujarnya, suspek turut mengarahkan mangsa mengeluarkan semua wang daripada akaun bank dan memindahkannya ke dua akaun baharu atas nama mangsa sendiri yang dibuka mengikut arahan sindiket.

Beberapa hari kemudian, anak mangsa membuat semakan dan mendapati keseluruhan wang telah dipindahkan dan kemudiannya dikeluarkan oleh individu tidak dikenali, katanya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Pada masa sama, pihak polis turut menyeru orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan taktik sindiket penipuan seumpama itu.

Ujarnya, antara langkah pencegahan yang disarankan termasuk tidak panik apabila menerima panggilan daripada individu yang mendakwa daripada agensi penguat kuasa.

“Ini termasuk dengan tidak menyerahkan sebarang maklumat peribadi atau perbankan serta tidak memindahkan wang ke akaun yang meragukan.

“Sebarang maklumat berhubung penipuan boleh dilaporkan ke balai polis berhampiran atau melalui talian hotline CCID Scam Response di 997,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here