Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Program Pelancaran Akademi Rel Pahang, di Dewan Utama Yayasan Pahang, di sini hari ini.

KUANTAN – Akademi Rel Pahang (ARP) disifatkan sebagai pemangkin dan peneraju kepada pendidikan formal dalam bidang industri rel negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara tidak sepatutnya terus bergantung kepada tenaga luar dalam membangunkan industri rel negara, sebaliknya perlu memperkukuhkan pembangunan modal insan tempatan secara sistematik dan menyeluruh.

“Walaupun kursus dalaman oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah dilaksanakan untuk pegawai dan tenaga kerja baharu, namun kewujudan sebuah akademi khusus seperti ARP adalah satu langkah besar yang amat signifikan.

“Ia bukan sahaja menyediakan platform pendidikan formal, malah menjadi peneraju kepada pembangunan kemahiran tenaga kerja dalam industri rel negara secara lebih tersusun dan berpiawaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Pelancaran Akademi Rel Pahang, di Dewan Utama Yayasan Pahang, di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, beliau yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan surat Tawaran dan Sijil Penyertaan kepada 10 orang pelatih yang akan dihantar ke negara China bagi menjalani sesi latihan Program Latihan Pensijilan Pengangkutan Rel dengan kerjasama Liuzhou Railway Vocasional Technical College (LRVTC).

Salah seorang pelatih menerima sijil penyertaan latihan disampaikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Program Pelancaran Akademi Rel Pahang, di Dewan Utama Yayasan Pahang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memuji langkah Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) yang mewujudkan akademi itu kerana mampu melonjakkan keupayaan negara dalam bidang pengangkutan rel.

Tambahnya, industri rel negara sebenarnya sudah mempunyai piawaian tersendiri yang boleh dijadikan rujukan dan panduan, iaitu International Standard for Railway Management.

“Kita tidak perlu cipta standard baharu, hanya perlu patuh kepada piawaian antarabangsa yang telah tersedia. Dengan itu, graduan daripada ARP dan institusi lain dalam bidang ini bukan sahaja boleh memenuhi keperluan domestik, tetapi juga bersedia untuk diterima di peringkat antarabangsa.

“Kita boleh latih dan keluarkan tenaga mahir yang mampu dieksport ke luar negara pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berharap agar usaha seumpama ini mendapat sokongan penuh semua pihak agar industri rel negara terus berkembang secara mapan dan berdaya saing di peringkat global.

Projek sulung ARP dimulakan dengan Projek Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi pada tahun 2027 dengan tujuh stesen di Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here