KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menzahirkan komitmen terhadap misi kemanusiaan apabila tampil membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights baru-baru ini.
Seramai 10 anggota dari pasukan perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM (FPSK) USIM diketuai Prof. Madya Dr. Mohd Radzniwan A Rashid, tampil ke lokasi Pusat Pemindahan Sementara di Masjid Putra Height dan Camellia, Majlis Bandaraya Shah Alam.
Menurut Dr. Radzniwan, misi bantuan adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial universiti melalui program USIM Prihatin yang memberi tumpuan kepada bantuan kemanusiaan dan sokongan kesihatan kepada masyarakat terjejas.
“Kami menerima maklumat tentang kejadian pada hari Sabtu malam dan terus bersiap siaga untuk menghantar pasukan keesokan harinya.
“Seramai 10 petugas perubatan terdiri daripada pakar perubatan Fakulti Perubatan USIM telah digerakkan ke PPS pada pagi Isnin,” katanya.

Tambah beliau, pasukan perubatan USIM ditugaskan untuk menilai tahap kesihatan mangsa serta menyediakan bantuan kesihatan asas khususnya kepada mereka yang mengalami gejala saringan akibat terhidu gas seperti sesak nafas, sakit dada dan pening kepala.
Turut dirawat tekanan darah tinggi, serangan panik, stres dan luka kecil akibat kejadian tersebut.
Turut membantu dalam operasi ini ialah beberapa kakitangan Pusat Hal Ehwal Pelajar USIM yang berperanan dalam menyelaras sokongan psikososial kepada keluarga terjejas.
Dr. Radzniwan turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta pihak berkuasa tempatan yang memberi kerjasama baik kepada pasukan perubatan USIM sepanjang operasi berlangsung.
Beliau menyatakan bahawa kerjasama rentas agensi seperti ini amat penting dalam menangani krisis kesihatan komuniti dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
“Pengalaman seperti ini juga memberi peluang sebenar kepada pakar perubatan USIM untuk berkhidmat dalam situasi kecemasan dan meningkatkan empati serta profesionalisme mereka sebagai pengamal perubatan Islam.
“Ini merupakan kali pertama kami berkhidmat kepada mangsa kebakaran yang berskala besar,” jelas beliau.
Misi bantuan berakhir setelah kebanyakan mangsa ditempatkan semula ke rumah sewa ataupun rumah masing-masing selepas kawasan disahkan selamat oleh pihak berkuasa. – MalaysiaGazette