KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan kakitangannya dipercayai berkelakuan tidak senonoh terhadap orang awam.
Menurut JKN, sebuah jawatakuasa siasatan ditubuhkan semalam bagi menyiasat aduan yang diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA).
“JKNP menerima tiga aduan melalui SiSPAA pada 9 dan 10 April berkaitan tatakelakuan seorang pegawai yang bertugas sebagai Pegawai Perubatan di salah sebuah fasiliti di JKN Pahang.
“Pegawai yang diadu itu dipercayai telah berkelakuan tidak senonoh dan tidak profesional terhadap orang awam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Justeru, JKN Pahang menasihati orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan.
PJKN Pahang berkata, ia tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga siasatan diselesai bagi menjamin integriti siasatan.
Terdahulu, tular di aplikasi X dan Tiktok tentang dakwaan mengenai seorang doktor berkelakuan tidak senonoh terhadap beberapa individu.
Pendedahan pengguna di aplikasi itu mendakwa terdapat laporan dibuat terhadap doktor tersebut sejak 2023, namun hanya mendapat perhatian meluas baru-baru ini.
Antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk permintaan gambar seksi daripada mangsa serta cubaan memujuk mangsa menarik semula laporan polis selepas ‘kantoi’ melakukan perbuatan tidak senonoh – MalaysiaGazett