Foto Facebook Pengerusi JPKK Dengkil.
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dengkil mahu isu pencerobohan tanah yang diwartakan sebagai tapak masjid baharu Dengkil sejak 2012 berpihak kepada tuan milik tanah yang sebenarnya.
Menerusi hantaran di Facebook Pengerusi JPKK Dengkil, pihaknya berkata, ini kerana isu tersebut sudah lama berlarutan dan pihaknya tidak boleh kalah lagi untuk memperjuangkan kebenaran.
Malah jelasnya, ketika sebahagian belakang masjid lama terpaksa dirobohkan kerana termasuk dalam kawasan tanah Cina, pihak JPKK tetap akur dengan arahan tanpa menimbulkan masalah.
“Pastikan kali ni kita x kalah lg. Masa arahan utk meroboh sebahagian blkg masjid kerana termasuk kwsn tanah cina.. maka usaha merobohkan dijalankan dgn begitu lancar tanpa bnyk bicara
“Knp kita kalah masa tu sbb puak2 tu kuat sgt mkn bihun dgn kuih ketayap.. bnyk sgt meeting nk kena hadir.
“Ini la sejarah masjid dengkil ramai org luar x tahu knp semakin kecil dan perlu dipindahkan sbb parking semakin terhad..
“Bila dh ada tapak puak melantak bihun tu masih x buat ape2 wlupun pruntukan dh trun. Doakan kali ni kita menang,” tulisnya di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi JPKK Dengkil itu turut memaklumkan dia telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

“Selesai buat report polis tentang isu pencerobohan ini. Tapi apa yang mengecewakan saya tiada report polis dari pihak Jais tentang pencerobohan ini walaupun tanah diwartakan pada tahun 2012,” katanya.

Sebelum ini, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Noorazli Said menegaskan, tidak timbul isu pampasan atau menuntut tanah gantian dalam kes pencerobohan tapak masjid Dengkil yang dimiliki oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut Noorazli, pembinaan masjid Dengkil tertangguh sejak lebih sedekad lalu kerana beberapa isu tertunggak khususnya melibatkan tuntutan hak tanah oleh komuniti Orang Asli.

“Tanah seluas empat hektar tersebut asalnya milik JAIS dan telah diwartakan sebagai tapak masjid sejak 2012. Namun, ia turut melibatkan tanah rayau dan kawasan perkuburan Orang Asli, menyebabkan proses pembinaan tidak dapat diteruskan sebelum ini,” ujarnya kepada media semalam.

Beliau memaklumkan, peruntukan sebanyak RM14 juta telah disediakan JAIS di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk pembinaan masjid baharu itu, namun pelaksanaannya tertakluk kepada persetujuan daripada komuniti Orang Asli yang terlibat.

Selain itu, Norazli menjelaskan, isu pencerobohan tanah oleh seorang pengusaha ternakan lembu yang turut membina rumah kediaman dan tempat ibadat peribadi di kawasan berkenaan.

Beliau menegaskan, tempat ibadat yang dibina pengusaha terbabit bukan kuil terbuka, sebaliknya ruang ibadat peribadi dalam kediamannya yang tidak dibuka kepada umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast