Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan di Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 09 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia minggu depan dijangka meningkatkan lagi hubungan dua hala dan perdagangan antara kedua-dua negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, China kekal sebagai rakan dagang utama negara itu dan dengan Malaysia kini menjadi Pengerusi ASEAN, banyak perkara perlu dibincangkan menerusi penglibatan bersama.

Beliau memberitahu, lawatan Jinping yang dijadualkan dari 15 hingga 17 April ini turut menandakan detik penting bagi Malaysia kerana ia akan memberi tumpuan bukan sahaja kepada kerjasama ekonomi.

Tetapi kata beliau, ia juga dapat mengukuhkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara yang melangkaui penglibatan peringkat rasmi dan perniagaan.

“Kami percaya bahawa bukan sahaja hubungan perdagangan akan menjadi lebih baik, hubungan rakyat dengan rakyat akan dipertingkatkan.

“Ini adalah satu penghormatan besar untuk Malaysia dan saya percaya kita mempunyai banyak peluang yang boleh kita bincangkan, perkukuhkan dan membina pencapaian masa lalu dan juga peluang masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mengula lanjut, ditanya impak  daripada lawatan Jinping, Fahmi berkata, Malaysia berharap dapat menyampaikan mesej jelas mengenai kerjasama dan perkongsian isu berbangkit.

Fahmi berkata, ini  trend global semasa telah menimbulkan kebimbangan baharu mengenai cabaran globalisasi.

“Kita harus menerima bahawa globalisasi sedang mencabar dan dinilai semula hari ini terutamanya berdasarkan keputusan dan pengumuman terbaru dari Rumah Putih.

“Banyak hubungan perdagangan antara negara mempunyai sejarah yang panjang. Kami tahu bahawa terdapat banyak peluang apabila kami bekerjasama. Kami percaya untuk bekerjasama rapat dan lebih baik bersama,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pendirian kukuh dan keras Amerika Syarikat terhadap China boleh memberi kesan ketara kepada ekonomi Malaysia dan kedudukannya dalam pusat ASEAN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here