BUTTERWORTH – Sebuah syarikat pembuatan dijatuhi hukuman denda RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal memastikan aspek keselamatan tempat kerja sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada seorang pekerja.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan media memaklumkan Syarikat Elna PCB (M) Sdn Bhd selaku majikan didapati bersalah di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana gagal membuat perkiraan yang mencukupi bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja ketika mengendalikan jentera di premisnya.
Hakim Nor Azah Kasran menjatuhkan hukuman tersebut selepas syarikat yang diwakili peguam dari firma guaman Josephine, L K Chow & Co mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan, kejadian berlaku pada 4 Oktober 2024 apabila seorang pekerja cedera parah selepas jari kelingking tangan kanannya tersepit antara ‘stacker’ dan ‘grid’ yang sedang bergerak di bahagian Machine Auto Checker kilang tersebut.
“Siasatan mendapati syarikat gagal memasang pengadang kukuh dan selamat pada bahagian jentera berbahaya yang bergerak, yang sepatutnya dilakukan bagi memastikan keselamatan pekerja ketika bertugas.
“Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP Pulau Pinang, Nadia Farhana Radzi, manakala siasatan kes dilakukan oleh Pegawai Penyiasat JKKP, Abdul Jalil Abdullah.
“Di bawah Seksyen 15(1) akta tersebut, sabitan boleh membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, kes ini diharap menjadi pengajaran kepada semua pihak, khususnya majikan agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang demi keselamatan pekerja dan kepentingan awam. – MalaysiaGazette