Tertuduh Mohd. Sukri Daud, 40, dipenjara 7 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menculik gadis kurang upaya (OKU) berhampiran rumahnya di Bukit Rambai, Melaka, 5 April lalu dan mambawanya sejauh 510 kilometer sehingga ke Kedah.

MELAKA – Pemandu Perodua Kelisa yang menculik gadis kurang upaya (OKU) berhampiran rumahnya di Bukit Rambai, di sini, Sabtu lalu dan mambawanya sejauh 510 kilometer sehingga ke Kedah dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohd. Sukri Daud, 40, mengaku bersalah bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melarikan Nurin Wardina Hairi, 18, dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.

Perbuatan itu dilakukan di taman permainan Taman RI 1, Bukit Rambai Idaman dalam daerah Melaka Tengah, pada kira-kira jam 3 petang 5 April lalu.


Tertuduh Mohd. Sukri Daud, 40, dipenjara 7 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menculik gadis kurang upaya (OKU) berhampiran rumahnya di Bukit Rambai, Melaka, 5 April lalu dan mambawanya sejauh 510 kilometer sehingga ke Kedah.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.

Terdahulu, tertuduh yang memakai kain pelekat, berbaju T dan diwakili peguam S. Amritpal Singh merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya hanya berniaga burger.

Tertuduh juga perlu menyara tiga anak yang masih kecil selain telah insaf atas perbuatannnya itu.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius membabitkan mangsa gadis OKU.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan penjara dari tarikh tertuduh ditangkap pada 7 April lalu.

Ahad lalu, MalaysiaGazette melaporkan Polis Melaka memburu pemandu Perodua Kelisa berwarna perak selepas dipercayai terlibat dalam kes kehilangan gadis OKU berkenaan dari taman permainan di rumahnya.

Kehilangan mangsa, disedari ibunya, Hamnahwati Mohamad, 48, pada pukul 5.30 petang apabila mendapati anaknya itu tidak pulang ke rumah selepas keluar bermain di taman permainan.

Sebelum kejadian, ibu mangsa ada terlihat sebuah kereta Perodua Kelisa berkenaan yang diletakkan berhampiran rumahnya dalam keadaan mencurigakan.

Selepas gagal mencari mangsa di taman permainan, seorang penduduk taman mendakwa terlihat gadis OKU itu masuk ke dalam kereta Perodua Kelisa terbabit sebelum ibunya membuat laporan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here