KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa mengambil tindakan tegas termasuk merobohkan binaan sebuah kuil berdekatan Jalan Ipoh, di sini, yang didakwa tidak mendapat kebenaran.
Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Prof Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, pembinaan kuil itu mengundang keresahan khususnya dalam kalangan umat Islam setempat memandangkan dibangunkan kurang 10 meter dari surau PERKIM.
Jelas beliau, pembinaan kuil itu yang betul-betul berhadapan dengan surau PERKIM juga menganggu komuniti PERKIM khususnya ketika aktviti dakwah sedang berlangsung di bangunan tersebut.
Menurut beliau, kuil itu dibina di atas sebidang tanah kosong bersebelahan ibu pejabat MIC sejak beberapa bulan lalu, selepas dipindahkan dari lokasi asal yang agak jauh dari bangunan PERKIM.

Katanya, walaupun DBKL telah mengeluarkan notis menghentikan kerja-kerja pembinaan disebabkan tidak mendapat kelulusan, namun pihaknya mendapati pihak terlibat masih meneruskan pembinaan tersebut.
Lebih mengecewakan, kata beliau, pemimpin MIC yang sebelum ini pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan sepatutnya lebih memahami perkara berkaitan undang-undang dan tidak berkompromi dalam isu seperti pembinaan yang tidak mendapat kelulusan.
“Sehubungan itu, kami menggesa DBKL dan pihak berkuasa bertindak tegas memastikan pembinaan haram ini dihentikan segera sebelum binaannya menjadi lebih besar dan kekal.
“Kita tidak mahu kejadian seperti yang berlaku melibatkan sebuah kuil di Jalan Masjid India yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini berulang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Ridhuan Tee menyertai kira-kira 200 umat Islam terdiri daripada penduduk setempat dan ahli beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan aman bagi membantah pembinaan kuil tersebut.
Tambahnya, PERKIM tidak mempunyai halangan untuk mana-mana penganut agama lain mengamalkan kepercayaan mereka termasuk membina rumah ibadat, namun ia perlu mengambil kira sensitiviti penganut agama lain, khususnya penduduk setempat.

Menurut beliau, surau PERKIM di lokasi itu sudah wujud sejak 1980-an selain turut mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mendirikan solat Jumaat sejak September tahun lalu.
“Sekiranya pembinaan kuil ini diteruskan, ia akan menimbulkan banyak masalah kepada penduduk setempat seperti kesesakan jalan raya dan isu bunyi serta bau khususnya ketika berlangsung upcara tertentu,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, PERKIM dan penduduk setempat memohon campur tangan kerajaan dan pihak berkuasa segera bagi menyelesaikan isu terbabit termasuk mengadakan dialog bersama wakil komuniti setempat. – MalaysiaGazette