KUANTAN – Kerajaan Persekutuan meluluskan cadangan untuk memulakan kerja awalan bagi lima projek penting di negeri Pahang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pahang bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri hari ini.
“Dalam mesyuarat tersebut, saya telah dibentangkan dengan pelbagai projek pembangunan dan perancangan jangka panjang melibatkan aspek infrastruktur asas seperti jalan raya, tebatan banjir, kesihatan, perkilangan, perumahan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya.
Beliau berkata, antara projek tersebut ialah Pembinaan Persimpangan Bertingkat Bukit Rangin, Jalan Kuantan-Chukai (FT03) dan penaiktarafan Jalan FT012 di Jalan Kuantan-Segamat sepanjang 51 kilometer (km).
Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk memulakan kerja awalan bagi pakej 6 bagi Central Spine Road (CSR) antara Karak-Simpang Pelangai, Bentong ; penaiktarafan Jalan dari Kampung Padang ke persimpangan lampu isyarat LPT1 (Fasa 2) serta pembinaan baharu Klinik Kesihatan Jenis tujuh berserta 10 unit Kuarters Kelas F di Pos Lenjang, Kuala Lipis.
“Selain melihat kepada perancangan projek pembangunan, mesyuarat turut meneliti bilangan terkini warga miskin tegar di Pahang yang bakal dinoktahkan menjelang hujung bulan April.
“Saya percaya melalui perancangan dan pelaksanaan projek yang dirancang dengan teliti ia mampu membawa manfaat kepada warga Pahang serta limpahan pembangunan kepada negara,” tambahnya lagi.
Sebelum mengakhiri mesyuarat tersebut, Anwar berkata, beliau mahu barisan kepemimpinan negeri meningkatkan prestasi serta perkemas prinsip urus tadbir yang baik agar negeri dan negara dapat terus dilonjak ke tahap yang lebih cemerlang dan bermakna. – MalaysiaGazette