KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengarahkan penutupan serta merta ke atas Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Rumah Pelangi (Rainbow Home) di Cheras, Selangor, susulan berlaku pelanggaran serius terhadap kebajikan kanak-kanak di premis berkenaan.
KPWKM memaklumkan pemeriksaan dijalankan semalam oleh Pegawai Diberi Kuasa (PBDK) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Hulu Langat.
“Turut sama ialah polis Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak dari IPD Kajang.
“Hasil pemeriksaan, dua penjaga pusat jagaan dipanggil ke IPD Kajang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, sebagai langkah awal, premis berkenaan telah diarahkan tutup serta-merta dan kesemua 18 kanak-kanak yang berada di situ iaitu 12 lelaki dan 6 perempuan yang diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Kajang bagi pemeriksaan kesihatan.
“Kanak-kanak ini akan ditempatkan di PKMD Hulu Langat untuk saringan awal ketika ini.
“KPWKM akan terus memantau situasi ini dan mengambil tindakan lanjut yang sewajarnya demi menjamin keselamatan serta kebajikan kanak-kanak terlibat,” ujarnya.
Dalam masa sama, orang ramai yang mengetahui atau mengesyaki sebarang kes penderaan kanak-kanak diminta segera melaporkannya melalui Talian Kasih 15999, WhatsApp 019-2615999 atau terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berdekatan.
Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri warga emas yang juga pemilik serta penjaga sebuah rumah perlindungan kanak-kanak persendirian di Batu 9, Cheras ditahan kerana disyaki mendera penghuni premis itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pasangan berusia 66 dan 68 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.20 petang.
Katanya, kedua-dua telah direman hari ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Beliau berkata, penangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan pada jam 10.08 malam 1 April lalu daripada seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mendakwa didera dengan cara dimarahi serta ditampar pada pipi kiri oleh pemilik dan penjaga premis itu. -MalaysiaGazette