PUCHONG – Tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights bukan hanya memusnahkan kediaman, sebaliknya ia menggugat masa depan penduduk yang kini terpaksa membina semula hidup mereka.
Tinjauan MalaysiaGazette ke lokasi mendapati ramai mangsa masih lagi trauma.
Ada antara mereka mendakwa bukan kerana tidak mahu bersuara tetapi bimbang risau bantuan yang diterima mungkin ditarik jika mereka ‘terlalu banyak bertanya’.
Mangsa mengakui mereka bersyukur dengan keprihatinan kerajaan dengan menyalurkan bantuan tempat tinggal, makanan, pinjaman kenderaan, sokongan psikososial serta dana kecemasan.
Bagamanapun timbul persoalan sehingga bila bantuan yang disalurkan itu akan bertahan?
Maklumat tidak rasmi menyebut tempoh bantuan yang disalurkan adalah kira-kira enam bulan bergantung kepada tahap kerosakan unit kediaman, tetapi bagi mereka yang rumahnya musnah sepenuhnya, tempoh itu terasa amat singkat.

“Kami bersyukur, tapi selepas enam bulan ke mana kami nak pergi? Kita terima bantuan sewa sementara sahaja.
“Rumah baru mungkin ambil masa setahun. Tapi hidup kami tak boleh pause macam itu,” kata seorang mangsa yang enggan dikenali.
Penduduk lain turut berkongsi kekhuatiran yang sama, walaupun kerajaan telah mengumumkan pelan membina semula rumah terjejas, mereka sedar realitinya bukan mudah.
Dengan pelbagai prosedur, tender dan aspek teknikal ia dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya sembilan hingga 12 bulan.
“Kami bina rumah sikit-sikit bertahun lamanya. Sekarang semua hilang. Bila difikir semula adakah struktur itu akan kembali sama?,” soal seorang penduduk.
Seorang lagi mempersoalkan siapa yang akan bertanggungjawab?
Setakat ini belum ada laporan rasmi jumlah kerugian, apatah lagi siasatan teknikal lengkap tentang punca kejadian.

“Siapa yang cuai? Siapa akan bayar ganti rugi? Adakah jumlah itu cukup untuk nilai yang kami hilang?” soalnya.
Apa yang mereka hilang bukan sekadar bangunan tetapi juga barangan peribadi seperti emas diwarisi daripada keluarga, dokumen penting, wang simpanan, komputer, kenderaan dan banyak lagi.
“Barang kemas arwah ibu saya dah turun-temurun. Sepatutnya saya wariskan pada anak saya. Sekarang semua hangus. Itu bukan nilai pasaran, itu nilai kenangan,” ujar seorang wanita sambil mengesat air mata.
Kata seorang lagi mangsa, masalah lain mereka hadapi ialah insurans.
Katanya ramai tidak mampu ambil perlindungan menyeluruh malah ada tuntutan yang dibekukan kerana kerosakan berlaku sebelum siasatan lengkap.
Apa yang mangsa mahukan bukan simpati tetapi kepastian dan jawapan.

Mereka hanya mahu tahu, apa rancangan seterusnya? Adakah akan diwujudkan dana khas? Pampasan untuk kehilangan perabot dan kenderaan? Atau sekadar bantuan jangka pendek semata?
“Kita hargai bantuan sementara dan segala macam sumbangan dihulur pelbagai pihak tapi semua ini sementara bukan?
“Letupan itu bukan salah kami. Ia berlaku tanpa amaran. Tapi kami yang kena tanggung akibatnya.
“Kini yang tinggal cuma dua perkara dalam diri kami, kesabaran dan harapan,” ujarnya. -MalaysiaGazette
Setelah sekian lama pihak berkuasa dan orang2 MB masih lagi belum mengumumkan nama kontraktor, pemaju dan konsultant pembangunan rumah kedai tersebut. Apa yang mereka ingin sembunyikan dan arahan dari siapa masih lagi menjadi tanda tanya?
Apa2 pun rekod baik Petronas dalam bidang keselamatan, imej dan reputasi baik mereka diseluruh dunia telah tercemar teruk!!!