Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sidang akhbar di lobi Wisma Dewan Annexe, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Foto MALAYSIAGAZETTE, 03 APRIL 2025.

SUBANG JAYA – Selepas lebih seminggu insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights yang memusnahkan puluhan kediaman, Kerajaan Negeri Selangor kini dalam fasa pemulihan pasca-bencana.

Kerajaan akan memberikan fokus kepada penempatan sementara mangsa serta pembersihan menyeluruh kawasan terjejas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 87 keluarga telah pun didaftarkan untuk penempatan sementara di unit-unit sewaan jenis Airbnb.

“Jumlah ini hampir sama dengan bilangan rumah yang mengalami kemusnahan total dalam tragedi tersebut.

“Sementara itu, baki 16 keluarga lagi masih dalam proses penyesuaian sebelum berpindah ke unit kediaman sementara yang telah dikenal pasti dan disiapkan,” katanya dalam sidang media di Pusat Penempatan Sementara (PPS), Putra Heights, di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, pihaknya juga akan melaksanakan pemeriksaan untuk menilai sama ada semua mangsa sudah bersedia berpindah ke rumah sewa yang ditetapkan.

Selari dengan peralihan kepada fasa pemulihan, pihak Kerajaan Negeri turut menjelaskan bahawa pada 14 April ini, iaitu sempena mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemulihan, dokumen-dokumen rasmi berkaitan bantuan sewa akan diserahkan kepada keluarga-keluarga yang layak.

“Pembayaran sewa tidak lagi dibuat secara tunai, sebaliknya akan dimasukkan terus ke akaun penerima, dengan bantuan bulan pertama dijangka disalurkan selewat-lewatnya dalam dua minggu dari sekarang.

“Semakan silang dan siasatan telah dimuktamadkan, dan semua penerima sumbangan yang layak akan menerimanya secara rasmi bermula petang ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, bantuan khas pendidikan juga diberikan kepada 265 pelajar yang terjejas, masing-masing menerima RM500, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM132,500.

Bantuan ini turut disokong oleh sumbangan daripada Kementerian Digital dalam bentuk peralatan seperti laptop, tablet dan powerbank, serta baucar buku RM200 setiap seorang untuk 37 mahasiswa.

Sebanyak 100 tablet dan 75 laptop telah diserahkan hari ini kepada pelajar-pelajar yang layak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here