KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Sri Langka dan seekor anjing ditemukan maut di sebuah stor pembinaan di Seksyen 25 Shah Alam, Selangor.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian pada jam 10.51 pagi ini daripada orang awam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati premis merupakan sebuah stor menyimpan barang-barang pembinaan dan turut dijadikan tempat tinggal mangsa.
“Pemeriksaan lanjut dalam premis dapati ada satu mayat seorang lelaki warganegara Sri Langka berumur 27 tahun.
“Si mati yang dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan memakai t-shirt warna merah berlengan pendek dan memakai seluar pendek warna coklat. Turut dijumpai seekor anjing yang mati terkena renjatan elektrik di sisi mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh yang boleh menyebabkan kematian.
Mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dibedah siasat kira-kira 4 petang.
Siasatan dijalankan di bawah mati mengejut dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp. Mohd Fildza Bin Che Ibrahim di talian 016-9537372.-MalaysiaGazette