KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan beliau telah menarik balik kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini berhubung status beliau di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO).
Malah Naib Presiden Pas itu turut menafikan hantaran palsu yang tular di media sosial ketika ini mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan susulan berhubung perkara itu.
Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasir Abd Razak berkata, dakwaan itu merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan mencemarkan imej dan kredibiliti Ahmad Samsuri sebagai pemimpin negeri.
“Beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau ‘posting’ seperti yang telah disiarkan oleh laman media sosial berkenaan.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri mendakwa beliau dilabel sebagai individu di bawah kawalan TCO sejak tahun lalu, menyebabkan pergerakannya dipantau secara ketat oleh pihak tertentu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada keperluan untuk meletakkan Ahmad Samsuri dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah.