KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dengkil mendakwa penceroboh di tapak masjid baharu Dengkil telah memperolehi banyak faedah sejak tinggal di kawasan itu.
Menerusi hantaran di Facebook Pengerusi JPKK Dengkil berkata, pihak itu langsung tidak mengeluarkan sebarang modal sebaliknya membuat duit di atas angin.
Malah katanya, kandang lembu yang dibina tidak mengikut peraturan yang betul apabila saliran najis dilepaskan ke kampung.
“Terlalu banyk hasil yg penceroboh dh kaut Dari hasil menggunakan tapak masjid.. satu sen pun tak perlu keluarkan duit tp lg buat duit atas angin.. kalau org lain buat kandang lembu kena ikot spek yg betul untuk saluran najis atau darah dan sebagainya, ni tiada, najis, darah semua lepas ke longkang yg menghala ke kampung.. tokey lembu dpt untung org kampung dapat tahi.
“Ada hari tu tanya pekerja dia masa raya aidilfitri berapa bnyk ekor lembu ada jual, pekerja dia cakap dalam 20 ekor.. seekor anggaran RM4-5k sekor.. kita amik la RM4k sekor kali dengan 20 ekor dapat dalam RM80k.. tu tak termasuk kambing berapa ekor terjual sebab lupa nk tnya masa tu.. pembeli2 lembu pun org melayu kita sbb bole dpt hrga murah,” tulisnya di sini hari ini.
Pengerusi JPKK Dengkil turut mempersoalkan bagaimana ada pihak yang membuat surat persetujuan dengan pekerja binaan kontrak untuk rumah sewa kongsi di situ.
Dakwanya, bekalan elektrik dan air juga disambung daripada sekolah Tamil berdekatan dan bagaimana perkara itu boleh berlaku.
“Ni belum cerita dia ada buat rumah sewa kongsi kepada pekerja binaan kontrak.. wakil kontraktor ada bayar kt dia sebulan RM2k sebab wakil kontrak tanya, dia mengaku dia tuan tanah siap ada agreement lagi dengan penyewa.
“Waaa btul2 buat duit ni, siap curi bekalan air dan letrik di sekolah Tamil Dengkil yang berdekatan tu.
“Apa lagi nank? tanah dapat, duit jual lembu dapat, kutip sewa lg.. yanng org kampung melopong sebab geng bihun tutup mata.
“Harap Kementerian Pendidikan Malaysia tak tido jgk la macam mana sekolah boleh bagi api (letrik) percuma kepada penceroboh .. benda2 macam ni perlu didedahkan sebab kesian kat org kampung, ternakan dia berak merata atas jalan tanpa pengawasan,” tulis pengerusi itu lagi.

Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Daerah Tanah (PDT) Sepang memberitahu akan membersihkan pencerobohan di tapak pembinaan Masjid Dengkil dalam tempoh sebulan.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, tindakan itu selaras dengan titah Sultan Selangor bahawa tanah di bawah kawalan JAIS hendaklah bersih dari sebarang pencerobohan.
Tambah beliau, JAIS juga akan memeriksa semua tanah miliknya daripada pencerobohan.
“JAIS akan terus memastikan bahawa tiada sebarang bentuk pencerobohan terhadap mana-mana tanah di bawah kawalannya dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika ia berlaku.
“Semua tanah warta JAIS akan diperiksa semula dalam tempoh satu bulan akan datang untuk memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku. JAIS akan bersama-sama PDT dan pihak berkuasa tempatan dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette