Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) mengeluarkan barangan yang tersimpan dalam Kapsuł Masa selepas hampir tiga dekad ketika Majlis Pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur, Foto HARI ANGGARA, 13 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mencuri perhatian ramai apabila berseloroh agar empat lagi kapsul masa yang masih tersimpan rapi di beberapa lokasi tertentu, terus `tertanam’ dan tidak didedahkan kepada umum.

Bekas Perdana Menteri berkata, pihak-pihak yang terlibat dalam proses ‘menanam’ kapsul masa tersebut kini sudah bersara.

“Orang yang tanam kapsul masa bersama-sama saya ketika itu, mereka kini sudah pencen dan tidak lagi bekerja.

“Biarlah kapsul itu terus tertanam,” ujarnya sambil disambut gelak ketawa hadirin yang berasa lucu dengan reaksi beliau menjawab soalan wakil media yang bertanya keberadaan empat lagi kapsul yang masih belum dibuka kepada orang ramai.

Bekas Perdana Menteri ke 4 dan 7,Tun Dr Mahathir Mohamad, menunjukan barangan yang terdapat didalam Kapsul Masa yang disimpan di Menara Kuala Lumpur ketika hadir pada Majlis Pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur, Foto HARI ANGGARA, 13 APRIL 2025.

Sementara itu, memetik laporan Astro AWANI, empat lagi kapsul berkenaan ‘tertanam’ di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, Putrajaya, Bangunan Bursa di sini dan di Dataran Pahlawan, Melaka.

Terdahulu, Dr. Mahathir membuka sendiri Kapsul Masa Wawasan 2020 yang tersimpan rapi selama 29 tahun di Menara Kuala Lumpur.

Upacara tersebut diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri  bertemakan  ‘Raikan Raya Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad’ anjuran Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB).

Tidak keterlaluan jika dikatakan, upacara membuka kapsul masa yang `tertanam’ sejak 1 Oktober 1996 itu merupakan hadiah hari jadi untuk negarawan ulung yang menyambut ulang tahun ke-100 pada 10 Julai ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, para pengunjung yang hadir dilihat teruja menyaksikan satu demi satu barang nostalgia dikeluarkan daripada ‘perut’ kapsul berkenaan.

Rata-rata yang hadir mengambil kesempatan merakam detik-detik bersejarah dan tidak kurang pula yang mengambil kesempatan membuat rakaman secara langsung dalam media sosial.

Antara barang yang dipertontonkan ialah kad pengenalan, setem, duit kertas RM2, album gambar, poster, ucapannya sendiri serta sajak untuk UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here