LONDON – Britain menuntut jawapan daripada pihak berkuasa Hong Kong dan China pada hari Ahad selepas seorang ahli parlimen pembangkang, Wera Hobhouse, dinafikan untuk memasuki wilayah China dan bekas tanah jajahan British itu.
Menteri Luar Britain, David Lammy berkata: “Amat membimbangkan apabila mendengar seorang ahli Parlimen dalam perjalanan peribadi telah ditolak masuk ke Hong Kong. Kami akan segera membangkitkan perkara ini dengan pihak berkuasa di Hong Kong dan Beijing untuk menuntut penjelasan.
Hobhouse, anggota parti pembangkang Liberal Demokrat menerusi media sosial berkata, beliau adalah Ahli Parlimen Britain pertama yang ditolak masuk ke Hong Kong sejak Beijing menguasai semula wilayah itu pada 1997.
“Pihak berkuasa tidak memberi saya penjelasan mengenai tamparan kejam dan menjengkelkan ini,” katanya.
Bercakap kepada akhbar Sunday Times Britain, Hobhouse berkata, beliau terbang ke Hong Kong pada Khamis untuk melawat cucunya yang baru lahir dan anaknya, yang bekerja di wilayah itu.
Hobhouse sebelum ini mengkritik Parti Komunis China yang memerintah kerana menyekat kebebasan awam di Hong Kong, dan pencabulan hak asasi manusia di wilayah China Xinjiang dan Tibet serta pendekatannya ke Taiwan dan Laut China Selatan.
Biro Keselamatan Hong Kong dan pihak berkuasa imigresen dan kedutaan China di London tidak mempunyai sebarang komen segera tentang tindakan tersebut.
Hobhouse ialah Ahli Parlimen Britain ketiga yang telah dinafikan masuk ke negara asing dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Sebelum ini Israel menyekat dua anggota Parti Buruh yang memerintah yang cuba melawat Tebing Barat dalam perjalanan mencari fakta atas alasan mereka berniat untuk mencetuskan aktiviti anti-Israel, kata Kedutaan Israel di Britain. – Agensi