BUKIT MERTAJAM – DAP Pulau Pinang menyatakan komitmen penuh untuk membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusinya, Steven Sim Chee Keong berkata, buat masa ini, DAP telah melantik Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh sebagai Pengarah Pilihan Raya manakala Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How untuk menyelaras PRK tersebut.
Steven Sim yang juga Menteri Sumber Manusia memaklumkan beliau sendiri menerima jemputan untuk hadir memberikan ucapan sempena kempen PRK tersebut.
“Kita akan menerima arahan daripada pejabat penyelaras untuk kita turun dan membantu kempen malah saya sendiri telah mendapat satu jemputan untuk pergi memberikan ucapan.
“Jadi untuk DAP Pulau Pinang, kita tiada masalah untuk memberikan bantuan atau sokongan sepenuhnya kepada kempen tersebut,” katanya ketika diminta mengulas sama ada DAP negeri menghantar jentera bagi membantu kempen calon Barisan Nasional bagi PRK Ayer Kuning.

Terdahulu, Steven Sim menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Pulau Pinang di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng dan barisan pimpinan negeri.
Diminta mengulas sama ada mampu memperoleh sokongan dalam kalangan pengundi Cina di Ayer Kuning, Steven berkata, pihaknya akan melakukan terbaik dalam membantu kempen PRK tersebut.
“We are definitely do the best… saya belum pergi ke Ayer Kuning lagi mungkin boleh dapatkan maklumat daripada penyelaras kita yang ada di sana,” katanya.
Media semalam melaporkan PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.
Calon Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54; berdepan saingan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April ini manakala pengundian awal akan diadakan pada 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. – MalaysiaGazette