PASIR GUDANG -Tiada sebarang protes atau boikot daripada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tapah terhadap calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan wujud masalah dalaman itu dan sentimen tersebut sengaja dimainkan pihak pembangkang bagi memecahbelahkan jentera BN.
“Semalam, saya sendiri berada di sana, tidak ada sebarang tanda penolakan atau bantahan. Malah, semua pihak termasuk jentera Pemuda dan Wanita hadir memberi sokongan penuh.
“Mungkin isu ini disebarkan sebagai usaha terdesak untuk memecahbelahkan kekuatan jentera BN. Hakikatnya, kerja-kerja kempen berjalan lancar dan semua jentera bekerjasama rapat demi memastikan kemenangan calon parti,” katanya.
Menteri Pertahanan itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis perasmian BHPetrol Bandar Seri Alam dan Sambutan Aidilfitri di Bandar Seri Alam di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengawai Eksekutif Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, Azizul Azily Ahmad.
Sebelum itu, media melaporkan terdapat segelintir ahli sayap Pemuda UMNO itu kecewa kerana wakil mereka tidak terpilih sebagai calon BN bagi PRK Ayer Kuning.
Pergerakan Pemuda UMNO dilaporkan mengemukakan calon tunggal mereka, namun pucuk pimpinan parti memilih Dr Mohamad Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Tapah mewakili BN.
Bagaimanapun ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pemuda tidak sesekali akan memboikot PRK berkenaan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kerjasama antara Mohamad Yusri yang juga Setiausaha UMNO Tapah, dengan Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Fahmi Ahmad Jakhisi berada pada tahap baik.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.- MalaysiaGazette
















