MAKKAH- Arab Saudi akan melarang kemasukan ke Makkah atau kekal di bandar itu bagi sesiapa yang memegang visa, selain visa haji mulai 29 April ini.
Ekspatriat, tanpa permit sah, juga akan dilarang memasuki Makkah mulai 23 April.
Permit untuk masuk hanya akan diberikan kepada individu yang penduduknya didaftarkan secara rasmi di Makkah, atau mereka yang memegang permit haji yang sah, atau individu yang diberi kuasa untuk bekerja di dalam tapak suci.
Permintaan untuk permit boleh dikemukakan secara elektronik melalui platform Absher Individuals atau portal Muqeem.
Ini adalah sebahagian daripada satu langkah yang lebih luas untuk mengawal musim haji tahun ini dan memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua jemaah haji, kata Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.
Tambahnya, hari Ahad, 15 Syawal 1446 bersamaan dengan 13 April 2025, akan menjadi tarikh akhir bagi jemaah umrah memasuki negara ini.
Manakala tarikh akhir bagi semua jemaah asing meninggalkan Arab Saudi adalah hari Selasa, 1 Dzul-Qi’dah 1446 bersamaan dengan 29 April 2025.
Ekspatriat, yang ingin masuk ke Makkah, akan dikehendaki mendapatkan permit haji rasmi daripada pihak berkuasa yang berkaitan berkuat kuasa mulai Rabu, 25 Syawal 1446 bersamaan 23 April 2025.
Mereka yang tidak mempunyai permit haji yang sah akan dikembalikan kepada negara mereka.
Kementerian tersebut turut mengumumkan pengeluaran permit umrah melalui platform Nusuk akan digantung untuk warga Arab Saudi, warga negara kerjasama Teluk (GCC), ekspatriat di Arab Saudi, dan pemegang visa lain berkuat kuasa Selasa, 29 April.
Penggantungan ini akan terus berkuat kuasa sehingga Isnin, 14 Zulhijah 1446 bersamaan 10 Jun 2025.
Kementerian menggesa semua individu dan syarikat penyedia perkhidmatan haji dan pertubuhan mematuhi peraturan ini, sambil memberi amaran bahawa pesalah akan berdepan hukuman undang-undang. – Agensi