Mohamed Khaled menyempurnakan Majlis perasmian BHPetrol Bandar Seri Alam dan Sambutan Aidilfitri di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang hari ini.

PASIR GUDANG – Malaysia akan menghantar 35 pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan bertugas dalam Hospital Medan Malaysia (HMM) bagi membantu mangsa gempa bumi di Myanmar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia susulan persetujuan kerajaan supaya ATM menyediakan kemudahan HMM di negara itu yang dilanda gempa bumi pada 28 Mac lalu.

Beliau berkata, HMM akan bekerjasama dengan pihak dari negara lain yang turut menghantar pasukan keselamatan.

“Ini susulan permohonan dibuat kerajaan Myanmar baru-baru ini. Lokasi HMM akan ditentukan nanti dan hanya menantikan kebenaran daripada kerajaan Myanmar.

“Kerajaan bersetuju menimbang permohonan daripada Myanmar supaya ATM menyediakan HMM di Myanmar di tempat yang akan ditentukan nanti.

“Objektif operasi HMM ialah untuk menjalankan dan memberi rawatan otopedik dan trauma, menyediakan pembedahan kecemasan untuk mangsa-mangsa yang patah tulang dan sebagainya.

“Ini bagi mengurangkan risiko kecacatan kepada mangsa-mangsa gempa bumi. Kita juga ambil peluang memberi kerjasama melatih pasukan perubatan Myanmar dalam soal-soal kapasiti building daripada sudut kesihatan SO (standard operasi),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis perasmian BHPetrol Bandar Seri Alam dan Sambutan Aidilfitri di Bandar Seri Alam di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengawai Eksekutif  Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, Azizul Azily Ahmad.

Semalam, kerajaan dilaporkan akan mendirikan HMM dan bantuan kemanusiaan termasuk pasukan perubatan ke Myanmar susulan gempa bumi berukuran 7.9 skala Ritcher.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, negara berkenaan memerlukan bantuan kerana ramai rakyat negara itu yang cedera.

Katanya, Perdana Menteri meluluskan secara dasar untuk negara menghantar hospital medan ke Myanmar seperti mana pernah diberikan kepada Turkiye sebelum ini berdasarkan keperluan rakyat negara itu yang memerlukan kemudahan serta bahan perubatan.

Kesan daripada gempa bumi kuat yang melanda, 84 hospital di Myanmar runtuh dan rosak selain mereka yang terjejas dengan bencana itu memerlukan tempat atau bilik pembedahan bergerak untuk diuruskan pakar perubatan.

Ditanya berkenaan tahap keselamatan pasukan perubatan HMM kerana Myanmar sedang bergolak, Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan memastikan kawasan yang akan didirikan HMM itu nanti di lokasi selamat.

“Kita pastikan kawasan tersebut bukan sahaja selamat tetapi mereka mesti jamin keselamatan pegawai-pegawai perubatan kita. Saya difahamkan sekarang ini memang pihak Myanmar bersetuju melakukan gencatan sejata.

“Tapi walaupun ada gencatan sejata kadang-kadang dicabul, jadi mungkin antara perkara yang kita nak minta Ialah supaya ada jaminan keselamatan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here