KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah terhadap bekas Ahli Parlimen Silam (sekarang Lahad Datu), Datuk Dr Salleh Kalbi meninggal dunia di Hospital Lahad Datu, Sabah pada pukul 4.40 pagi tadi.

Anwar berkata, beliau kehilangan seorang sahabat atas permergian Dr Salleh akibat jangkitan paru-paru.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Salleh Kalbi. Beliau dilaporkan telah meninggal dunia awal pagi tadi. Datuk Salleh adalah mantan Ahli Parlimen Silam selain merupakan sahabat saya.

“Semoga keluarganya kuat dan cekal dengan ujianNya dan mendoakan agar ruh almarhum ditempatkan bersama kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya di Facebook beliau hari ini.

Awal pagi ini, Dr Salleh dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.

Isterinya, Datin Fatmah Abdul Aziz berkata, allahyarham menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, jenazah akan diurus dan disolatkan di Masjid Firdaus, Kampung Sapagaya serta dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Terusan selepas solat Zohor nanti.

Ketika hayatnya, allahyarham pernah menjadi Ahli Parlimen Silam mewakili Barisan Nasional (BN) pada 2008 hingga 2013.

Pada masa itu, Parlimen berkenaan mempunyai tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lahad Datu (kini Silam), Tungku dan Kunak.

Bermula pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Sabah pada 2020, satu kawasan DUN baharu ditambah di kawasan Parlimen berkenaan iaitu Segama.

Pada akhir hayatnya, Salleh, 60, masih aktif berpolitik melalui PKR.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan, iaitu Amirah Mahfuzah Syopieah dan Amera Elezadiba Syalesiah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here