KUALA LUMPUR – Pemilihan PKR Cabang Keadilan Hang Tuah Jaya di Melaka menarik perhatian ramai apabila bekas Ketua Cabang itu, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menang semula jawatan berkenaan.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu berjaya merampas kembali jawatan itu setelah mendapat 1,995 undi menewaskan penyandang jawatan berkenaan, Mohd Rafee Ibrahim yang mendapat 736 undi.
Bagaimanapun, nasib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli tidak menyebelahinya apabila gagal merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang itu apabila mampu meraih 791 undi berbanding pencabarnya, Zamzizul Nordin yang mendapat 1,905 undi.
Dalam pemilihan yang sama juga menyaksikan Lee Kah Kim memenangi jawatan Naib Ketua apabila memperoleh 2,064 undi, manakala pencabarnya, David Ong Wai Leong mendapat 646 undi.
Mengulas mengenai kemenangan itu, Shamsul Iskandar berkata, ia satu kemenangan manis kerana Hang Tuah Jaya adalah tempat bermulanya beliau diangkat sebagai ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam politik di Melaka.
“Dengan kemenangan ini selepas kalah pada percubaan kali pertama tiga tahun lalu menunjukkan semangat anggota parti terhadap saya tetap tinggi.
“Saya berterima kasih kepada semua perwakilan yang memilih saya dan pasukan ini sehingga berjaya,” katanya. – MalaysiaGazette