Nora Ashikin Ghazali menunjukkan surat tawaran Program Pembangunan Siswa Sulung 3.0 yang diterimanya.

KUALA NERUS – Seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nora Ashikin Ghazali, 21, meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yuran pengajian penuh yang diterimanya menerusi Program Pembangunan Siswa Sulung 3.0.

Menurutnya, bantuan itu amat bermakna serta meringankan beban kewangan keluarga, sekali gus membolehkannya memberi fokus sepenuhnya kepada pelajaran.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada UMT atas peluang ini. Bantuan ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada keluarga saya, malah membakar semangat saya untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam akademik,” katanya.

Ujarnya, bapanya yang berusia 63 tahun tidak mampu untuk melakukan kerja berat disebabkan mengalami masalah saraf dan juga tekanan darah tinggi sekaligus meletakkan keluarganya berada dalam krisis kewangan yang lebih rumit.

“Keluarga hanya bergantung harap sepenuhnya kepada ibu yang mencari rezeki sebagai pengasuh,” katanya.

Nora Ashikin antara 120 pelajar UMT yang telah menerima manfaat daripada program itu sejak ia dilaksanakan tiga tahun lalu.

Surat tawaran bagi program itu telah diserahkan sendiri oleh Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts Dr. Mohd Zamri Ibrahim, yang turut diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain ketika sesi kunjungan ke kediaman Nora Ashikin di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu.

Dalam sesi penyerahan tersebut, Dr. Mohd Zamri Ibrahim turut menekankan kepentingan keseimbangan antara akademik dan kokurikulum dalam membentuk sahsiah
pelajar.

“Pelajar bukan sahaja hanya harus memberi tumpuan kepada akademik semata-mata, malah aspek kokurikulum juga perlu diberi penekanan serta bergiat aktif dalam membentuk sahsiah dan menggilap bakat pelajar, khususnya dalam aspek kepimpinan dan soft skills.

“UMT terus komited dalam membantu pelajarnya mencapai kejayaan akademik dan membentuk graduan berkualiti serta berdaya saing”. Katanya.

Program Siswa Sulung 3.0 merupakan salah satu inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan dan dilaksanakan oleh UMT dalam membantu pelajar yang memerlukan dengan menanggung sepenuhnya yuran pengajian kumpulan yang terlibat.

Pelaksanaan itu membuktikan komitmen UMT dalam memastikan pendidikan tinggi dapat diakses oleh semua tanpa mengira latar belakang kewangan.

Nora Ashikin yang kini mengikuti program pengajian Sarjana Muda Pengurusan Operasi Maritim Dengan kepujian di UMT berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai pelajar yang menghadapi kesukaran kewangan sepertinya.

"Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan membanggakan UMT sebagai tanda penghargaan atas bantuan ini," tambahnya dengan penuh semangat.

Dengan adanya inisiatif sebegini, semakin ramai pelajar dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka tanpa dibelenggu kerisauan mengenai yuran pengajian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here