MELAKA – Gagasan Islam Hadhari diperkenalkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi telah memberi impak besar dalam mengharmonikan hubungan antara agama dan pembangunan di Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia adalah antara legasi penting ditinggalkan Perdana Menteri Malaysia kelima itu sebagai sebuah pendekatan progresif yang menekankan keseimbangan antara pembangunan material dan spiritual.
“Gagasan ini memperkukuh nilai-nilai Islam dalam kehidupan masyarakat Malaysia, disamping memperkasakan
pembangunan ekonomi, pendidikan dan teknologi negara.
“Tun Abdullah dikenang sebagai seorang pemimpin yang bersifat sederhana, berwawasan dan teguh dala memperjuangkan keadilan serta kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, di sini, malam ini.
Di bawah kepimpinan Presiden UMNO ke-6 itu juga katanya, negara mencatatkan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang berimpak tinggi, termasuk pendekatan beliau yang lebih terbuka dalam isu reformasi dan pembangunan sosial.
“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan seluruh rakyat Malaysia sepanjang menerajui kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2009.
“Beliau telah mencurahkan khidmat bakti yang amat besar dalam memacu pembangunan negara, khususnya dalam bidang pentadbiran, pendidikan dan hubungan antarabangsa,” tambahnya.
Ab Rauf berkata, jasa dan sumbangan Allahyarham akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.
“Marilah kita teruskan legasi kepimpinan beliau yang berteraskan nilai-nilai kemanusiaan, integriti dan pembangunan berterusan,” tambahnya. – MalaysiaGazette