Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap merasmikan Forum Hutan, Pertanian dan Perdagangan Komoditi (FACT) 2025 di Marina Putrajaya, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Malaysia akan memperjuangkan skim pensijilan nasionalnya, Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sejajar dengan standard dunia menerusi Dialog Perdagangan Hutan, Pertanian dan Komoditi (FACT) pada 14 hingga 17 April ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebagai permulaan, 28 negara yang menyertai FACT boleh dilihat mematuhi standard itu dalam amalan perdagangan mampan, melindungi hutan dan ekosistem.

“Kita nak pastikan konsep kita ini sampai ke tahap pensijilan iaitu MSPO dan ini yang kita tengah memulakan dan kita nampak hampir 80 peratus daripada pemain industri ini mematuhinya.

“Yang kecil ini sedang berjalan dan kerajaan akan tolong mereka supaya mereka mematuhinya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini selepas merasmikan FACT 2025 di Marina Putrajaya, di sini, hari ini.

Dialog FACT ialah inisiatif utama antara kerajaan yang menyatukan 28 negara pengeluar dan pengguna komoditi pertanian yang didagangkan di peringkat antarabangsa seperti daging lembu, koko, minyak sawit, kacang soya dan kayu balak.

Misinya adalah untuk menggalakkan pelaksanaan amalan perdagangan mampan, melindungi hutan dan ekosistem dan  dalam masa sama menangani cabaran iklim dan biodiversiti global.

Menurut Johari, Malaysia berbesar hati untuk menyandang peranan Pengerusi Bersama dengan United Kingdom untuk tempoh 2025–2026 yang sebelum ini dipengerusikan Indonesia, dua tahun lalu.

“Malaysia berbangga menjadi tuan rumah Forum FACT 2025 di Putrajaya dari 14 hingga 17 April 2025 di bawah tema ‘Meningkatkan Sokongan untuk Petani Kecil.

“Acara itu akan memberi tumpuan kepada memupuk penyelesaian mampan dan inovatif untuk petani pekebun kecil, mempromosikan kemasukan mereka dalam sistem kebolehkesanan dan ketelusan serta mengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara anggota,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here