KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Terengganu menyifatkan dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan negeri itu sebagai satu pembohongan yang tidak wajar diteruskan.
Pengerusinya, Hasbie Muda berkata, kenyataan-kenyataan seperti itu hanya gimik politik semata-mata dan bertujuan mencetuskan sentimen negatif rakyat terhadap kerajaan.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Amanah menegaskan, tohmahan sedemikian juga telah terjawab menerusi titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan 408 projek pembangunan bernilai RM13.56 bilion untuk negeri itu.
“Titah Tuanku adalah satu pengiktirafan jelas bahawa Terengganu terus diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan dalam aspek pembangunan.
“Ia sekaligus menolak tuduhan liar bahawa negeri ini telah dipinggirkan. Jelas sekali, dakwaan mereka hanyalah rekaan untuk meraih simpati dan menanam kebencian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Hasbie menyelar sikap Pas yang didakwanya lebih memilih untuk menyebarkan naratif fitnah daripada membantu menyelesaikan isu rakyat.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini perlu dihentikan.
“Kami menyeru semua pemimpin politik agar menghormati fakta dan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar yang telus, berkesan dan berorientasikan rakyat,” tambahnya.
Dalam pada itu, PH Terengganu turut menegaskan komitmen mereka untuk memastikan setiap projek pembangunan yang diluluskan Kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan sebaiknya demi manfaat seluruh rakyat Terengganu tanpa mengira latar belakang politik. – MalaysiaGazette