KUANTAN – Penduduk di kawasan Rumah Kilang di Felda Panching Utara di sini menyuarakan kebimbangan apabila jalan utama di situ berisiko runtuh akibat hakisan yang berlarutan sejak dua tahun lalu.
Salah seorang penduduk, Muhamad Sahrul Zainal, 39, berkata, keadaan itu merbahaya kepada pengguna lebih-lebih lagi ketika dua kenderaan terpaksa berselisih di lokasi tersebut.
“Jalan ini kecil. Kalau sudah masuk ke sini, apabila sampai di tengah dan berselisih, rasa macam nak terhimpit ke kawasan yang mendap tu. Bahaya,” katanya.
Tambah Sahrul, situasi menjadi lebih bahaya apabila waktu malam dan hujan kerana tahap kebolehlihatan berkurangan.

Meskipun pada luarannya kelihatan hanya sebahagian kecil jalan itu yang telah runtuh namun ketika tinjauan MalaysiaGazette ke lokasi terbabit mendapati sebahagian besar di bawah permukaan jalan itu termasuk dua buah paip calvert konkrit juga telah roboh.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Siti Aminah Arifin, 56, pula memberitahu, laluan itu juga merupakan laluan keluar masuk lori membawa muatan sawit dan lori treler selain kenderaan penduduk.
Dia yang sering menggunakan jalan itu menunggang motosikal kebiasaannya terpaksa berhenti untuk memberi laluan kepada lori kerana tidak mahu terbabas ke bahagian jalan yang telah runtuh.

“Rasa cemas la sebab kita sebagai orang tua tak berapa nampak sangat mata. Kalau malam lagiĀ tak nampak.
“Sekarang pun hujan tak menentu. Kalau hujan lebat tu, habis terhakis sikit-sikit sampai dah jadi macam ni. Kita tak nak lah sampai jadi apa-apa tak diingini,” katanya lagi.
Siti Aminah juga mendedahkan telah beberapa kali membuat aduan kepada ketua kampung namun belum mendapat maklumbalas atau sebarang tindakan lanjut.
Menurut Hadi Hakim Kamdani, 38, pula, keadaan jalan mendap itu menjadi kesulitan kepada penduduk menjalani rutin harian mereka.
Justeru, dia turut mengharapkan agar pihak berwajib segera mengambil tindakan agar perkara yang tidak diingini berlaku.

“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan segera lah. Sebab hujan tak menentu sekarang. Sekarang mungkin kita tengok panas. Tapi petang nanti hujan.
“Dan setiap kali berlaku hujan, pasti akan berlaku rekahan. Sebab air daripada sungai yang besar yang lalu di bawah itu mengakibatkan jalan terhakis,” jelasnya lagi.
Difahamkan, seramai 315 orang penduduk daripada 63 buah keluarga yang menetap di perumahan kilang itu berisiko terjejas jika laluan terbabit terputus akibat mendapan. – MalaysiaGazette