JERANTUT – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas sendiri lalu melanggar sebatang tiang lampu di kilometer (KM) 29 Jalan Jerantut – Maran dekat Felda Sg Tekam Getah di sini, semalam.
Ketua Polis Jerantut Superintendan Zukri Mohammad berkata, mangsa, Mohd Fitri Haziq Mohd Fadir, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di muka dan patah paha belah kiri.
”Dalam insiden 7.30 malam Ahad, mangsa menunggang motosikal Yamaha Y15Zr bersendirian dalam perjalanan dari Jerantut menghala ke Maran.
”Apabila sampai di tempat kejadian mangsa gagal mengawal motosikal ditunggangnya lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang tiang lampu,” katanya menerusi kenyataan pada malam ini.
Zukri memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat.
Kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette