KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan Selamat Tahun Baharu Chithirai, Hari Vaisakhi dan Vishu kepada semua masyarakat Tamil, Sikh dan komuniti Malayalee.
Perdana Menteri berharap tahun baharu membawa lebih banyak kegembiraan, kesihatan yang baik dan keberkatan kepada mereka yang meraikan perayaan terbabit.
“Kita raikan kepelbagaian ini dengan rasa bangga, kerana inilah warna-warni Malaysia yang menjadikan negara kita unik dan kuat. Teruskan semangat perpaduan, itulah kekuatan sebenar kita,” kata Anwar.
Menurutnya, kerajaan akan terus memperhebatkan inisiatif bagi memberdayakan komuniti India di Malaysia melalui pelbagai program.
Ini termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India selain menambah baik semua aspek penting termasuk pendidikan, penyediaan rumah ibadat dan peluang pekerjaan.
Anwar berkata, inisiatif berkenaan penting dalam merealisasikan hasrat memartabat masyarakat India sekaligus meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India pada masa hadapan.-MalaysiaGazette