Suspek ditembak mati berbalas tembakan dengan polis di Klang, awal pagi tadi. Foto : Media sosial.

KLANG Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes penculikan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun maut selepas berbalas tembakan dengan polis di sini awal pagi tadi.

Remaja berkenaan yang diculik di Seremban pada 10 April lalu dibebaskan selepas keluarganya membayar wang tebusan sebanyak RM280,000 serta menyerahkan beberapa barangan kemas.

Timbalan Pengarah (Operasi/Risikan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa diculik kira-kira pukul 5.45 petang sebelum dilepaskan di Sendayan, Negeri Sembilan pada pukul 8.30 malam keesokan harinya.

“Kumpulan penculik meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta namun hanya RM280,000 dan barang kemas yang diserahkan oleh keluarga mangsa,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Hasil siasatan polis kemudiannya telah membawa kepada beberapa tangkapan dan serbuan.

Menurut Fadil, suspek berusia 21 tahun itu telah dikesan berada sekitar kawasan Klang sekitar pukul 5 pagi tadi sebelum dikejar pasukan polis sehingga ke Jalan Bayu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi.

“Suspek enggan berhenti dan bertindak merempuh kenderaan polis serta melepaskan tembakan ke arah anggota sebelum berjaya dipintas dan ditembak mati,” ujarnya.

Kenderaan yang dipandu suspek dipercayai merupakan kereta sama yang digunakan untuk menurunkan mangsa di Sendayan.

Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemui sepucuk pistol dan sebilah parang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat sehingga membantu polis menumpaskan kumpulan penculik terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here