Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir ketika ditemui pemberita pada siri berkempen bertemu pengundi di Pasar Awam Tapah Road, pada Isnin. Foto: Abdullah Yusof

TAPAH – Penyokong bagi calon-calon parti politik yang bertanding diminta untuk sentiasa berhemah dalam sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, dekat sini.

Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir berkata, sebagai sebuah masyarakat yang matang tindakan berkempen secara memburuk-burukkan pihak lain disifatkan sebagai perkara yang tidak sihat.

Katanya, malah beliau sendiri secara peribadi tidak mempunyai masalah dengan calon lawan walaupun bertembung di lokasi sama semasa berkempen.

“Kita perlu berkempen secara baik berhemah dan merendah diri. Tidak perlu kita memburuk-burukkan individu lain (pihak lawan) kerana ia tidak sihat.

“Seperti dalam situasi saya secara tidak sengaja bertembung dengan calon lawan pada pagi tadi.

“Saya tidak ada masalah (dalam hal ini) kerana pada saya kita menuju ke arah politik yang matang dan hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada hari ketiga tempoh berkempen PRK DUN Ayer Kuning di Pasar Awam Tapah Road, pada Isnin.

Sebelum itu Dr Mohamad Yusri menyantuni peniaga kecil yang berada di Pasar Tani, Tapah Road sebagai salah tu siri kempen beliau bertemu pengundi.

Pada masa sama, secara tidak sengaja calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek bertembung dengan Dr Mohamad Yusri di lokasi sama.

Mereka sempat menyapa serta beramah mesra kira-kira seminit sebelum meneruskan kempen masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Yusri Bakir memberitahu setakat ini perjalanan kempen beliau berlangsung dengan baik.

Malah kata beliau, reaksi momentum dan positif yang diterimanya baik daripada pengundi Melayu mahupun bukan Melayu diharap dapat diteruskan sehingga ke hari pengundian.

“Ketika di Kampung Baru Coldstream, Bidor saya menerima reaksi mengalakkan daripada masyarakat Cina. Malah, reaksi sama diterima masyarakat India ketika berkempen di sekitar Tapah Road.

“Pada masa sama, saya berjumpa juga dengan bekas-bekas anak murid saya yang pernah saya mengajar mereka di sekolah rendah.

“Hubungan itu terjalin dan sudah pasti saya berharap ia dapat diterjemahkan melalui sokongan pada hari pengundian nanti,” kata beliau lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here