KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mempertahankan pekebun durian haram dan mengetuai perhimpunan menghalang penguatkuasaan di Raub baru-baru ini satu bentuk penderhakaan terhadap titah Sultan Pahang.
Dalam masa sama, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin turut menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan terhadap kedaulatan undang-undang.
Malah Timbalan Pengerusi Bersatu Pahang itu berkata, perbuatan Yu Hui itu juga jelas memperlekehkan keputusan Mahkamah Tinggi serta membelakangkan perintah yang diperkenan oleh Sultan Pahang.
“Kehadiran Chow (Hui Yui) dalam kumpulan ini jelas menunjukkan campur tangan langsung dalam urusan penguatkuasaan yang sah, satu perbuatan yang boleh ditafsir sebagai penderhakaan terhadap titah tuanku dan penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang negeri.
“Tindakan ini melanggar semangat taat setia kepada institusi Raja yang menjadi teras kedaulatan negeri serta mencerminkan sikap biadab terhadap perintah yang diperkenan oleh Sultan Pahang sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media seperti dipetik portal Harakahdaily hari ini.
Sementara itu, Jasri turut melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap gelagat segelintir ahli politik ekstremis yang sanggup memperalatkan undang-undang dan hak milik negeri demi kepentingan politik sempit.
Jelasnya, pekebun haram yang menceroboh tanah kerajaan dan meraih keuntungan mencecah ratusan juta ringgit tidak wajar dilayan sebagai mangsa, apatah lagi diberi ganjaran dalam bentuk geran tanah.
Dalam masa sama, beliau juga menyokong penuh titah Sultan Pahang supaya semua pihak menghormati keputusan mahkamah dalam isu pekebun durian haram di Raub.
Ujarnya, sebarang cubaan mencabar titah itu harus dilihat sebagai penghinaan terhadap kedaulatan negeri dan institusi Raja yang menjadi lambang perpaduan serta keadilan di bumi Darul Makmur itu.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) supaya tidak berdiam diri dalam menghadapi bentuk penderhakaan terbuka tersebut.
“Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Ia juga berpotensi disiasat sebagai hasutan terhadap institusi diraja mengikut Seksyen 3(1)(a) dan (c) Akta Hasutan 1948, selain jelas mencabuli Prinsip Kedua Rukun Negara: Kesetiaan kepada Raja dan Negara,” katanya.
Polis sebelum ini memanggil lima individu termasuk Yu Hui bagi membantu siasatan kes dakwaan penjawat awam dihalang menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian di Raub, baru-baru ini.
Sebelum ini media melaporkan pekebun didakwa menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan rasa tidak puas hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun, namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden.
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Pahang menafikan telah melanggar perintah mahkamah apabila menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub, 8 April lalu. – MalaysiaGazette