Khairy Jamaluddin memberikan sidang media di Institut Jantung Negara.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dalam keadaan tenang dan ditemani kesemua adik beradik dan anak-anak Allahyarham.

Menurut menantunya, Khairy Jamaluddin, Allahyarham dimasukkan ke Institut Jantung Negara awal pagi semalam.

“Seperti mana yang saya telahpun muat naik tadi pada jam 7.10 malam. Pak Lah telah pun meninggal dunia. Kembali ke rahmatullah.

“Semua adik-adik, keluarga beliau berada bersama di sisi beliau dan Tun Jean, isteri kepada Pak Lah juga bersama. Semua anak-anak termasuk Kamal, Nori, Nadin, Nadia. Pak Lah telah meninggal dalam keadaan yang tenang,” kata Khairy dalam sidang media di IJN hari ini.

Jenazah Tun Abdullah dibawa keluar daripada IJN kira-kira jam 8.55 malam dan dibawa ke kediaman Allahyarham di ibu negara.

Jenazah bekas Perdana Menteri itu akan dibawa ke Masjid Negara esok dan rakyat boleh memberi penghormatan terakhir dari jam 11 pagi hingga jam 1 petang di Dewan Solat Pertama.

“Untuk mereka yang non-muslim, kita minta supaya datang memakai baju yang sesuai untuk masuk ke dalam Dewan Solat Masjid.

“Kalau tidak, jubah akan disediakan oleh pihak Masjid Negara. Selepas Zohor, akan diadakan solat jenazah bagi Pak Lah. Dan selepas solat jenazah, jenazah Paklah akan dikebumikan di Makam Pahlawan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast