Ketua Penerangan Bahagian Hulu Langat Bersatu, Mohamad Shafiq Abdul Halim.

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka kotak bukti yang mendakwa kesalahan melibatkan berbilion ringgit yang dilakukan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, ia selaras dengan pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020 oleh Dr. Mahathir semalam.

Apatah lagi, kata beliau, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berulang kali mendakwa mempunyai kotak-kotak bukti berkait kekayaan luar biasa yang dimiliki Dr. Mahathir.

“Sehingga ke hari ini, sudah dua tahun empat bulan Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Rakyat menuntut kebenaran dan keadilan sekiranya benar berbilion-bilion wang rakyat telah dibazirkan bagi mengkayakan kroni dan ahli keluarga Dr. Mahathir.

“Saya mencadangkan agar salah satu daripada enam kotak bukti korupsi ini dibuka pada bulan Syawal ini selaras dengan pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020.

The world is looking up to us (Dunia sedang memerhatikan kita) sekiranya dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Dr. Mahathir adalah benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Malaysia mencatatkan sejarah apabila Dr. Mahathir membuka Kapsul Masa Wawasan 2020 yang ditanam olehnya sendiri di Menara Kuala Lumpur hampir tiga dekad lalu.

Kapsul itu ditanam pada 1 Oktober 1996 yang mana ketika itu Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Sementara itu, Mohamad Shafiq secara sinis berkata, mereka yang membesar pada era tersebut menyedari terdapat dua perkara penting yang kekal menjadi misteri sepanjang zaman iaitu kandungan lima Kapsul Masa Wawasan 2020 dan enam kotak bukti rasuah semasa pemerintahan Dr. Mahathir seperti didakwa Anwar.

Pada Mei 2023, Dr. Mahathir memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Anwar berhubung dakwaan bahawa dia mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.

Dr. Mahathir meneruskan tindakan undang-undang selepas Anwar tidak mematuhi surat tuntutan agar membuat permohonan maaf terhadapnya berhubung dakwaan yang dibuat semasa ucapan dasar di Kongres Nasional Khas PKR pada 18 Mac 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here