KUALA LUMPUR – “Tun Abdullah Badawi bukan sekadar seorang pemimpin. Beliau sahabat yang jujur, pemimpin yang tenang dan manusia yang berhati besar”.
Itu kata-kata bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ketika mengenang pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, mantan Perdana Menteri Malaysia kelima yang meninggal dunia pada usia 85 tahun semalam.
Hsien Loong meluahkan rasa sedih dan kehilangan terhadap seseorang yang telah beliau kenali sejak sebelum kedua-duanya memegang tampuk pemerintahan negara masing-masing.
“Saya amat sedih mendengar berita pemergian Pak Lah. Beliau berkhidmat dengan penuh dedikasi, berusaha sedaya upaya menangani cabaran Malaysia dan memperbaiki kehidupan rakyatnya.
“Ia satu penghormatan besar bagi saya kerana pernah mengenali beliau secara dekat dan berkongsi banyak perbualan hangat serta penuh makna sepanjang tahun-tahun itu,” katanya dalam laman sosial beliau hari ini.
Kata beliau lagi, Pak Lah dikenang bukan sahaja kerana sumbangan beliau dalam pentadbiran tetapi juga kerana pendekatannya yang merendah diri dan penuh berhemah.
Hubungan erat antara beliau dan Hsien Loong telah menyemai asas penting dalam kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura.
“Pada tahun 2007, kami mengadakan Leaders’ Retreat pertama di Langkawi satu langkah bersejarah yang membuka ruang dialog terbuka antara kedua-dua negara. Tradisi ini masih diteruskan oleh pemimpin selepas kami,” ujarnya.
Difahamkan, sebagai tanda penghormatan terakhir, Hsien Loong hadir ke istiadat pengebumian allahyarham di sini hari ini bersama isterinya, Ho Ching dan pegawai kanan dari Kementerian Luar Singapura.
Sebelum ini, Perdana Menteri Singapura sekarang, Lawrence Wong turut menyatakan penghargaan terhadap jasa allahyarham dalam memperkukuh peranan ASEAN di pentas dunia serta membina jambatan persahabatan yang erat antara Singapura dan Malaysia.
“Tun Abdullah adalah seorang pemimpin yang dihormati dan sahabat sejati kepada Singapura. Di bawah kepimpinan beliau, hubungan dua hala terus berkembang. Iskandar Malaysia di Johor, contohnya menjadi bukti kerjasama erat yang telah meletakkan asas kukuh untuk hubungan kita hari ini,” katanya. -MalaysiaGazette