[ARKIB] Runtuhan selepas serangan udara Israel ke atas rakyat Palestin AFP

ANKARA – Sekurang-kurangnya 16 lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza pada Rabu, menurut sumber perubatan dan tempatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pertahanan Awam pula melaporkan, sepuluh orang terkorban dalam satu serangan yang menyasarkan sebuah sekolah yang menempatkan orang awam yang kehilangan tempat tinggal di kejiranan Al-Tuffah, timur laut Bandar Gaza.

Manakala empat lagi terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas rumah-rumah di bandar Jabalia di utara Gaza, tambah laporan itu.

Di selatan Gaza, tentera membunuh dua rakyat Palestin dan mencederakan beberapa yang lain dalam dua serangan berasingan di timur Khan Younis dan Al-Mawasi di kawasan barat bandar itu, menurut satu sumber perubatan.

Menurut saksi, lima orang turut cedera dalam serangan ketiga yang mengenai sebuah khemah penempatan orang awam di bandar Bani Suhaila di timur Khan Younis.

Tentera Israel turut melepaskan tembakan mesingan berat ke arah kawasan kediaman di timur Bandar Gaza, serta kawasan timur kem pelarian Maghazi di tengah Gaza.

Israel menyambung semula serangan berdarah ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac, setelah meninggalkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang mula dikuatkuasakan pada Januari lalu.

Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh hampir 51,300 rakyat Palestin di wilayah itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tindakannya di wilayah berkenaan.

— BERNAMA-ANADOLU

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast