Mahkamah Sesyen hari ini mengarahkan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman membela diri atas tiga pertuduhan berkaitan dadah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atas tuduhan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara ketika di Mahkamah Sesyen 1 Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 3 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman kini dibenarkan pulang ke rumah selepas lebih empat tahun menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Perkembangan terkini itu dikongsikan rakannya yang juga bekas anggota kumpulan Brothers, Akbar Azmi menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman sosial Threads.

Akbar berkata, Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, 51, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas dibenarkan keluar dari hospital berkenaan.

“Alhamdulillah, akhirnya setelah lebih empat tahun, Yasin Sulaiman atau dikenali sebagai Yasin Brothers sudah dibenarkan pulang dari hospital.

“Ya Allah, lama itu. Anak pun sudah besar. Alhamdulillah, sepatutnya 30 tahun dan pernah disabitkan untuk duduk dalam penjara. Ini semua kuasa ALLAH SWT, Yasin dapat lepas hari ini,” katanya.

Pada 28 April tahun lalu, Yasin, 50,  dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan serta memerintahkannya kembali ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sehingga diperkenankan Sultan Selangor.

Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel hakim diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali yang bersidang bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir yang dimohon Yasin.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atas Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah dihadapinya.

Sementara itu Akbar turut memaklumkan, beliau sudah menghubungi Yasin yang ketika itu berada dalam perjalanan pulang dan dipercayai sudah menghampiri Tapah.

“Saya telefon dia tadi, dia dalam perjalanan, dekat Tapah. Nanti tunggu ‘update’ terbaru saya bersama beliau nanti, insya-ALLAH. Kami sangat gembira,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here