MELAKA – Seorang gadis berusia 15 tahun maut digilis sebuah treler selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan kenderaan berat itu ketika cuba memotongnya di Jalan Tangga Batu, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, Nurnie Alisya Mohamed Noor maut ditempat kejadian dan mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan ke gerai jualan nasi kerabunya di sebelah kanan jalan.
Lebih menyayat hati, kejadian itu dipercayai berlaku tidak jauh dari ibunya menyebabkan wanita itu meraung menahan kesedihan apabila menyaksikan nahas tragis tersebut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian treler berkenaan dipandu lelaki berusia 43 tahun dalam perjalanan dari arah Tangga Batu menghala ke Ayer Keroh.
“Apabila sampai di tempat kejadian, datang motosikal mangsa dari arah kiri jalan memotong treler berkenaan yang berada di lorong kanan untuk pergi ke gerai jualan nasi kerabunya di sebelah kanan jalan.
“Bagaimanapun, berlaku pelanggaran antara kedua-dua kenderaan mengakibatkan mangsa dan motosikalnya digilis treler menyebabkan remaja yang sudah tidak bersekolah itu maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat kemudian di bawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah di keluarkan bagi mengetahui punca kematian.
“Polis sedang mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan dan kes diklasifikaiskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette