Mahkamah Butterworth.

BUTTERWORTH – Sebuah syarikat pembuatan di sini didenda RM65,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas didapati bersalah pertuduhan gagal memastikan keselamatan sehingga menyebabkan kemalangan terhadap seorang pekerja pada September lalu.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan media berkata, Hakim, Nor Azah Kasran menjatuhkan hukuman terhadap Syarikat Cheung Woh Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022.

“Mengikut pertuduhan, majikan didapati gagal menyediakan arahan kerja yang selamat bagi penggunaan mesin Power Press untuk kerja pembuatan produk sehingga menyebabkan kemalangan kepada seorang pekerja pada 4 September tahun lalu.

“Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Pulau Pinang, Ir. Muhammad Rufaizal Izham Rusdi bersama Ir. Azman Md Yasin, manakala siasatan dijalankan oleh pasukan Pegawai Penyiasat diketuai Mohd Iqwan Hussin serta  Khairul Nizam Mat Piah.

“Syarikat berkenaan tidak diwakili mana-mana peguam,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast