PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan satu pautan tular di media sosial yang mendakwa bantuan tunai berjumlah RM300 dikreditkan ke dalam MyKad.
JPN dalam hantaran di media sosial hari ini memaklumkan, maklumat itu adalah palsu dan jabatan tersebut tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk bantuan wang tunai.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan hantaran tular di media sosial dan tidak menekan sebarang pautan yang meragukan,” menurut JPN melalui hantaran di laman Facebook serta X rasminya.
JPN menasihati orang ramai untuk hanya mendapatkan maklumat sahih berkenaan bantuan kewangan kerajaan melalui portal rasmi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my. – BERNAMA