Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai seorang pemimpin ulung negara yang dikenang oleh segenap lapisan masyarakat atas sifat kesederhanaan dan kepimpinannya yang berjiwa rakyat.

“Tidak lain, tidak bukan, beliau adalah Pak Lah,  pemimpin ulung negara kita. Beliau cukup sederhana dengan sifat yang sentiasa menunjukkan kesederhanaan dalam kepimpinan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negara hari ini.

Ka Siong turut mengenang keteguhan dan sikap terbuka Allahyarham yang sentiasa mendengar pandangan rakyat sepanjang pentadbirannya.

“Beliau juga seorang pemimpin yang tabah dan mendengar pandangan rakyat. Saya masih ingat, beliaulah pemimpin yang membawa Barisan Nasional memenangi 199 daripada 216 kerusi pada Pilihan Raya Umum 2004,” ujarnya.

Menurut Ka Siong, ketika itu beliau sendiri telah menerima watikah untuk bertanding di bawah kepimpinan Tun Abdullah dan berpeluang berkhidmat dalam kabinet sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.

“Saya sempat berkhidmat di bawah pentadbiran beliau dan dihantar sebagai Timbalan Menteri Pelajaran. Pak Lah adalah seorang pemimpin yang sukar dicari ganti dan tiada tolok banding,” tambahnya.

Tambahnya, Abdullah juga dikenang sebagai tokoh yang sentiasa mengutamakan perpaduan rakyat termasuk menerusi dasar pendidikan seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

Ka Siong berkata, seluruh negara kehilangan seorang negarawan yang banyak berjasa.

“Kita dengan rasa sedih terpaksa menerima pemergian seorang tokoh negara, seorang negarawan yang sangat berjasa kepada negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here