KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan menyiarkan semula dokumentari khas serta profil pencapaian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai usaha mengenang jasa dan legasi bekas Perdana Menteri Kelima itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang berkata, kandungan tersebut bakal dijadikan tatapan utama generasi muda untuk memahami sumbangan besar allahyarham terhadap negara.
“Saya akan minta supaya profil dan sedikit dokumentari tentang apa yang telah berjaya dilaksanakan sewaktu pentadbiran Perdana Menteri Kelima dapat diulang siar sebagai tatapan utama generasi muda,” katanya.
Fahmi menyifatkan Allahyarham sebagai seorang negarawan yang membumi, dekat di hati rakyat dan telah mencorakkan banyak dasar penting ketika menerajui kerajaan.
“Allahyarham adalah seorang negarawan yang memetik kata-kata Perdana Menteri, sangat membumi.
“Secara peribadi, saya juga turut bersedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham,” katanya ketika ditemui media selepas memberikan penghormatan terakhir di Masjid Negara hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan jenazah Allahyarham dimakamkan di Makam Pahlawan sebagai penghormatan negara.
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan agar jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dimakamkan di Makam Pahlawan. Maka kita akan melalui proses tersebut,” ujarnya.
Fahmi turut merakamkan terima kasih kepada pelbagai organisasi yang telah menangguhkan atau membatalkan majlis sebagai tanda hormat atas pemergian negarawan tersebut. – MalaysiaGazette