KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani tidak akan gagal kerana terlalu mesra atau baik kepada bukan Melayu, sebaliknya akan gagal sekiranya mempertahankan amalan rasuah.
Disebakan itu juga, menurut Perdana Menteri, Kerajaan Madani pimpinannya akan terus menekankan nilai-nilai baik seperti saling menghormati dalam kalangan rakyat merentasi agama dan kaum, di samping menekankan aspek tata kelola pentadbiran yang baik (good governance).
Ujarnya, keunikan Malaysia sebagai sebuah negara unik kerana kepelbagaian kaum dan agama dalam kalangan rakyatnya, turut menjadi cabaran dalam memastikan keamanan dan kestabilan.

Sehubungan itu, jelasnya, adalah mustahak untuk setiap kaum dan penganut agama berbeza di negara ini mempromosikan nilai-nilai dalam komuniti masyarakat yang berbeza.
“Kita pasti akan berjaya kita bercakap soal saling menghormati antara satu sama lain, mempamerkan nilai-nilai yang baik merentasi kaum dan menekankan berkenaan aspek tatakelola kerajaan yang baik.
“Kita kena yakin ini adalah perkara yang tepat untuk dilakukan, sebab nilai-nilai itu adalah apa yang ditekankan dalam semua agama iaitu tentang keadilan dan harga diri (human dignity),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Persidangan Antarabangsa Dialog Peradaban ICONCIDI 25 sempena 30 Tahun Dialog Peradaban di Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Menurut Anwar, dalam negara yang penduduknya pelbagai kaum seperti di Malaysia juga, adalah mudah untuk seseorang untuk menjadi fasis dengan hanya bercakap tentang kelangsungan sesuatu kaum semata-mata.

Ujarnya, perkara itu juga berlaku dalam kalangan beberapa pemimpin politik di negara ini yang tidak memahami, menghargai atau menghormati perbezaan dalam kalangan rakyat dengan mewakili suara kaum atau agama yang sangat ekstrem.
“Jadi ini adalah cabaran kepada kita, kepada universiti, pensyarah dan cendekiawan untuk mempromosikan nilai yang benar dalam masyarakat pelbagai kaum, sekali gus menjamin keamanan dan kestabilan negara.
“Atau (jika gagal), kita akan jatuh kepada suara-suara ekstrem yang boleh menyebabkan ketidakstabilan kepada negara,” katanya.
Tambah Anwar, Malaysia perlu menjadi contoh kepada rantau ASEAN dan Asia yang mana dalam keadaan pertembungan sengit dan tidak menentu dari aspek fahaman serta idea, masih ada upaya dalam kalangan yang mahu mempertahankan prinsip kemurnian hidup berdasarkan nilai sejagat. – MalaysiaGazette