KUALA NERUS – Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), telah menganjurkan program khidmat masyarakat SISPA
Clean & Green bersama komuniti Kampung Kubang Badak, membabitkan penyertaan seramai 83 pelajar dan tiga orang pegawai pengiring.
Program ini bertujuan memupuk kesedaran sivik dan memelihara kelestarian alam sekitar dalam kalangan pelajar serta komuniti setempat. Antara aktiviti utama yang dilaksanakan termasuk pembersihan kawasan pantai, gotong-royong membaik pulih pagar surau yang rosak akibat hakisan, pengumpulan bahan kitar semula, serta penanaman pokok sebagai langkah mencegah hakisan pantai.
Sebanyak 30 batang pokok telah ditanam berhampiran kawasan pesisir, hasil sumbangan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, sebagai usaha awal memulihara ekosistem kawasan pantai.
Menurut Timbalan Komandan Kor SISPA UMT, Mejar (Bersekutu) Mohd Juhari Ab Kadir, program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara pelajar dan masyarakat, malah memberi peluang kepada pelajar untuk memahami peranan serta tanggungjawab sosial dalam menjaga alam sekitar.

“Melalui kerjasama erat bersama penduduk kampung, para anggota Kor SISPA yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda dapat merasai sendiri semangat
kesukarelawanan serta mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian,” jelas beliau.
Penduduk kampung turut memberikan sokongan penuh terhadap program ini, menjadikan suasana gotong-royong lebih bersemangat dan harmoni. Secara keseluruhan, hampir 1,770 kilogram sampah telah berjaya dikutip dan diasingkan mengikut kategori.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 117 kilogram botol minuman telah dibersihkan dan dikumpulkan untuk aktiviti kitar semula, menyokong inisiatif UMT dalam Program Zero Waste Market sempena Hari Lestari UMT 2025 yang dijadual berlangsung pada 30 April 2025.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kubang Badak, Pengurusan Surau Hj. Alias, serta agensi-agensi tempatan yang berkaitan.
Kor SISPA UMT berharap inisiatif ini dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak usaha hijau secara bersama antara universiti dan komuniti, ke arah membina masyarakat yang lestari dan lebih peka terhadap penjagaan alam sekitar. – MalaysiaGazette