KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera selepas ditetak dengan parang di sebuah pusat beli-belah di Seremban, Negeri Sembilan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, ketika kejadian mangsa yang sedang duduk sambil menghisap rokok didatangi sekumpulan lelaki.
Kata beliau, salah seorang daripada ahli kumpulan yang memegang parang mengejar dan melibas mangsa.
“Mangsa berusia sekitar 40-an tidak sempat mengelak dilibas berkali-kali. Mangsa kemudian bangun sebelum lari dan diselamatkan rakannya.
“Dia kemudian dikejarkan ke hospital, kita difahamkan mangsa mengalami luka pada kedua belah lengan, belakang serta kaki kanan dan dilaporkan stabil,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya telah mengenal pasti suspek dan usaha menangkap sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan manusia menggunakan senjata yang membawa kepada hukuman penjara sehingga sepuluh tahun atau dengan denda atau sebat,” katanya. – MalaysiaGazette