Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan kononnya beliau enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah ke atas aset milik UMNO.

Lantaran itu, Dr Mahathir mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Puad Zarkashi telah menuduhnya tanpa asas.

Malah, beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah dan berniat jahat untuk memburukkan reputasinya kerana semua proses berkaitan pindah milik tanah tersebut telah dipersetujuinya sejak tahun 2015 lagi.

“Pertamanya, mereka ni tak baca ke saman pemula yang UMNO failkan oleh Setiausaha Kerja nya Mohd Sumali. Saman itu namakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan dan bukan saya.

“Keduanya, dalam afidavit sokongan kepada saman yang difailkan oleh UMNO dinyatakan bahawa permohonan kebenaran untuk pindah milik tanah bertarikh 27 Oktober 2015 telah ada surat akuan yang ditandatangani oleh keempat-empat pemegang amanah termasuklah saya.

“Kemudiannya, pada 28 Disember 2015, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa Jawatankuasa Kerja tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah meluluskan kebenaran pindah milik daripada pemegang-pemegang amanah tersebut kepada UMNO,” jelasnya dalam hantaran di Facebook.

Bagaimanapun. tambah beliau, proses pindah milik itu terbantut pada Mei 2017 kerana terdapat nama dalam geran hartanah tidak sama seperti dalam kad pengenalan.

“Jelas tidak timbul saya tidak mahu lepas harta UMNO. Saya telah buat akuan bersetuju pada tahun 2015 lagi,” tegas Dr Mahathir.

Berikutan itu, Dr Mahathir menyifatkan cubaan untuk meletakkan kesalahan ke atas dirinya sebagai tindakan terdesak untuk mengalih perhatian sedangkan proses mahkamah itu sendiri tidak melibatkan beliau.

“Sebelum ini Zahid sudah pun saya saman atas dakwaan fitnah. Sekarang Puad pula menyambung kerja memfitnah. Sampai bila mahu berbohong untuk kekal berkuasa?” soalnya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menyindir jika fitnah ini dibuat kerana tidak memahami fakta sebenar, maka ahli UMNO perlu menilai semula kelayakan kepimpinan Zahid dan Puad.

“Tak malukah berbohong dan fitnah tak berhenti-henti.

“Kalau tidak faham pun, jangan sampai kaki bohong begini terus diberi kepercayaan sebagai Presiden parti atau Speaker DUN Johor,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here