Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam, semalam.

Amirudin mewakili pentadbiran dan rakyat negeri Selangor menyampaikan rasa dukacita atas pemergian Perdana Menteri kelima itu yang menurutnya telah banyak berjasa kepada negara.

“Saya wakili pentadbiran Negeri Selangor dan rakyat Negeri Selangor ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah menghembuskan nafas terakhir jam 7.10 malam,” katanya ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdullah di Masjid Negara, di sini, harini.

Menurut beliau, Tun Abdullah merupakan seorang pemimpin dan pentadbir yang lama berkhidmat dalam kerajaan, dan pastinya telah banyak menyumbang kepada negara.

“Sudah pasti banyak jasa beliau yang telah disumbangkan kepada negara, dan penghormatan negara dan pahlawan yang diberikan pada hari ini sebagai tanda penghargaan kerajaan dan juga seluruh rakyat Malaysia.

“Terutamanya juga daripada rakyat Negeri Selangor di atas segala sumbangan dan juga jerih-perih beliau dalam politik, dalam pentadbiran, hinggalah dia menjadi Perdana Menteri satu ketika dahulu, Perdana Menteri yang kelima,” tambahnya.

Amirudin turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan segala amal baiknya sepanjang perkhidmatan diberikan ganjaran sebaiknya oleh Allah SWT. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here