Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja dikenang sebagai seorang pemimpin berwibawa malah turut menjadi perintis kepada pembangunan modal insan di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bekas Perdana Menteri Kelima yang mesra disapa Pak Lah itu dikenali sebagai seorang pemimpin berjiwa sederhana namun tetap tegas dalam melaksanakan perubahan sepanjang tempoh pentadbirannya.

“Antara legasi terbesar beliau ialah penekanan terhadap pembangunan modal insan. Menurut allahyarham, sesebuah negara tidak hanya terbina dengan infrastruktur semata-mata seperti bangunan atau jalan raya tetapi lebih penting adalah rakyatnya yang memiliki nilai dan jati diri sebagai modal insan,” katanya ketika ditemui media selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid Negara hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengimbas sumbangan besar allahyarham dalam memperkenalkan konsep Islam Hadhari yang mengangkat Islam sebagai agama yang membawa peradaban, tamadun serta kemajuan untuk rakyat Malaysia.

Tambah beliau, slogan ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’ yang dicipta Pak Lah juga menjadi satu simbol aspirasi negara ke arah kejayaan menyeluruh.

“Saya secara peribadi amat terkesan dengan pemergian beliau. Allahyarham adalah individu yang menandatangani watikah pencalonan saya sebagai calon Parlimen Pontian pada Pilihan Raya Umum 2008 ketika beliau menerajui UMNO dan Barisan Nasional,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here